BAB 29: Skrip Yang Terlalu Dekat
Malam itu di parkir bangunan produksi.
Lampu malap, bunyi kipas luar berdengung perlahan. Hannah tunggu Danial keluar dari bilik mesyuarat. Bila lelaki itu muncul, Hannah terus berjalan ke arahnya — tak senyum, tak berselindung.
“Danial, saya nak tanya awak satu perkara. Tapi saya nak awak jujur — kalau tak, kita tak payah teruskan apa-apa pun lepas ni.”
Danial berhenti, tenang.
“Tanya apa saja.”
Hannah pandang tepat ke matanya.
“Watak lelaki dalam skrip tu. Yang tak pernah pasti dengan kawan dia… Yang simpan rasa tapi tak berani pilih. Itu…awak ke?”
Danial senyap.
Hannah sambung perlahan, suaranya bergetar tapi tegas.
“Sebab saya boleh rasa… awak masih belum benar-benar lepaskan seseorang dalam hidup awak. Saya tak tahu siapa. Tapi kalau betul ada orang tu… dan saya bukan ‘the one’ dalam fikiran awak… saya nak awak lepaskan saya sekarang.”
Danial angkat wajah. Wajahnya tegang, tapi matanya jujur.
“Ya. Watak tu memang berdasarkan saya. Tapi bukan sebab saya masih pilih dia…”
Dia tarik nafas bersandar sedikit ke dinding konkrit.
“Saya cuma tak pernah jumpa seseorang yang buat saya yakin untuk tinggalkan kisah tu sepenuhnya. Sampailah awak muncul.”
Hannah diam. Cuba tafsir setiap nada.
“Saya tak nak jadi pengganti, Danial.”
“Awak bukan pengganti, Hannah. Awak pelengkap. Dan jujur… saya sedang belajar lupakan kisah lama — dengan cara jatuh cinta perlahan-lahan dengan awak.”
Comments
Post a Comment